Bicara Opah Jay
"Kemahiran Urus Diri"
Bukan Sekadar Kerja Rumah, Tapi Bekal Maruah Anak
Pernahkah kita terfikir, mengapa ada anak yang kelihatan begitu yakin melangkah masuk ke TADIKA, manakala ada yang sentiasa menoleh ke belakang mencari bantuan? Di TADIKA, para pendidik sering melihat perbezaan yang sangat ketara ini. Bukannya pada kebijaksanaan mereka membaca, tetapi pada kemahiran urus diri. Anak yang dibantu sepenuhnya di rumah—disuap makan, dipakaikan baju, malah beg TADIKA/TASKA pun digalaskan oleh orang dewasa—sering kali berasa “tempang” apabila berada di luar zon selesa mereka. Sebaliknya, anak yang diajar berdikari sejak kecil sebenarnya sedang membina otot “keyakinan diri” yang akan dibawa sehingga dewasa.
Mengapa Urus Diri Itu Penting?
Urus diri adalah asas kepada self-esteem (harga diri). Apabila seorang kanak-kanak berusia 4 tahun berjaya menyarung kasutnya sendiri—walaupun kidal atau terbalik—otaknya menghantar isyarat: “Saya mampu. Saya kompeten.” Perasaan “Saya Boleh” inilah yang menjadi perisai emosi mereka. Jika kita sentiasa mengambil alih tugas mereka atas alasan “cepat” atau “kesian”, secara tidak langsung kita menghantar mesej bahawa mereka tidak cukup cekap untuk melakukannya sendiri.
Langkah Kecil Menuju Berdikari
Membentuk anak yang berdikari tidak berlaku dalam semalam. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi daripada ibu bapa dan pendidik. Berikut adalah strategi yang boleh diamalkan:
1. Sediakan Rutin yang Konsisten
Kanak-kanak bawah 6 tahun hidup dalam dunia yang penuh ketidakpastian. Rutin adalah “sauh” yang membuatkan mereka rasa selamat. Apabila mereka tahu bahawa selepas mandi adalah waktu memakai baju, dan selepas makan adalah waktu mengemas pinggan, mereka tidak lagi perlu menunggu arahan. Rutin membina disiplin dalaman. Anak yang tahu urutan hari mereka akan merasa lebih berkuasa ke atas diri sendiri dan kurang mengalami keresahan.
2. Kuasa Memberi Pilihan Terancang
Salah satu cara paling berkesan untuk membina kematangan adalah dengan memberi pilihan. Namun, jangan berikan pilihan terbuka yang membingungkan. Gunakan Pilihan Terancang. Contohnya: “Adik nak pakai baju biru atau baju merah hari ini?” atau “Adik nak kemas blok dulu atau buku dulu?”.
Teknik ini memberi mereka sense of control (rasa berkuasa). Apabila anak rasa pendapat mereka dihargai, mereka akan lebih bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut.
3. Hargai Usaha, Bukan Hasil (Proses vs Hasil)
Ini adalah bahagian yang paling sukar bagi kita orang dewasa. Kita sering mahukan kesempurnaan. Namun, dalam dunia kanak-kanak, kesempurnaan adalah musuh kepada pembelajaran.
Jika anak memakai baju secara terbalik, jangan terus memarahi atau membetulkannya dengan kasar. Puji usaha mereka: “Wah, bangganya teacher/mama tengok adik usaha sarung baju sendiri!”. Biarkan mereka rasa bangga dengan pencapaian itu dahulu. Selepas beberapa ketika, barulah tunjukkan cara yang betul secara lembut. Apabila kita menghargai usaha, anak tidak akan takut untuk melakukan kesilapan pada masa hadapan.
Mungkin hari ini lantai rumah sedikit bersepah kerana mereka belajar makan sendiri, atau stoking mereka senget sebelah, tetapi lihatlah di sebalik itu—ada seorang insan kecil yang sedang belajar berdiri di atas kaki sendiri dengan penuh maruah. Ingatlah, anak yang berdikari hari ini adalah pemimpin yang yakin pada masa hadapan.